Rabu, 07 Maret 2012

Mengembalikan Remaja Ke Pangkuan Kemuliaan

MUSUH BERJAYA MENAWAN HATI ANAK KITA

by kawan sejati
Apa yang berlaku pada anak-anak remaja kita sebenarnya adalah teguran dari Tuhan untuk kita semua. Allah mengingatkan betapa selama ini kita telah cuai akan tanggung jawab pendidikan penerus bangsa. Selama ini kita membuat sistem pendidikan dengan tidak merujuk pada Tuhan, hanya dengan mengandalkan akal, secara trial and error. Walhal Rasulullah adalah pendidik teragung yang telah mampu menjadikan bangsa arab jahiliah menjadi bangsa yang agung yang menjadi rujukan dunia hanya dalam tempoh 23 tahun. Satu sistem pendidikan yang telah melahirkan anak-anak dan remaja yang sudah matang di usia yang masih belia. (lihat buku pendidikan Rasulullah karya ASIAMAT)


Remaja yang kuat adalah yang baik bertunjangkan iman

Bila bercakap tentang pendidikan, ia sangat memerlukan ilmu dan pengalaman yang luas sebab fokusnya banyak aspek. Kalau hendak fikirkan bagaimana untuk pandaikan seseorang, itu adalah perkara yang senang. Tetapi kalau hendak pandaikan orang, hendak jadikan dia berakhlak baik, pergaulannya baik, hendak jadikan dia orang yang bertanggungjawab, perkara ini bukanlah mudah. Kalau secara Barat mudah sebab hanya hendak pandaikan. Sebab itu dalam ajaran Islam ini, ia tidak akan anggap orang itu baik berdasarkan yang luar-luar sahaja. Baik itu mesti bertunjangkan iman.

Contoh macam di kampung-kampung, tahun 60-an dahulu, budaya barat tidak ada, pergaulan bebas, bercinta-cinta tidak ada, dadah tidak ada, pengaruh gangster pun tidak ada. Jadi fitrah semulajadi manusia itu tidak dirosakkan oleh unsur lain dari luar. Apa yang terjadi? Orang tidak menipu, tidak kacau orang, bertolong bantu. Waktu itu kalau tidak bertolong bantu, satu kesalahan. Sebab itu kalau isytihar sahaja ada kenduri, masing-masing akan ikut berkenduri dengan apa yang ada. Kenduri menjadi kenduri bersama. Mungkin kita rasa, baiknya orang kampung.

Dalam Islam, baik kerana suasana atau environment, tidak diiktiraf. Ia bukan bertunjangkan akidah dan bukan bertunjangkan iman. Keluar sahaja dari kampung, satu hari sudah rosak. Padahal waktu di kampung dia baik. Dia tidak tahan ujian dan tidak tahan dicabar. Dia dididik oleh suasana. Contohnya, di kampung orang Asli, di tengah-tengah hutan, ada akhlak orang yang lebih baik dari kita kerana dia tidak terpengaruh dengan suasana luar. Suka tolong orang tetapi di segi Islam tidak baik sebab akidah dia rosak. Hutan yang didik dia, bukan Tuhan. Orang tidak nampak akidah. Orang nampak lahir. Nampak baik akhlaknya, baik dengan jiran, berkasih sayang, menolong orang tetapi dia lupa didik anak. Kerana suasana baik, maka anaknya nampak baik. Sekali pergi bandar, musnah kerana dia baik hasil suasana, bukan bertunjangkan Tuhan.

Di Riyadh, pernah berlaku seorang gadis berusia 16 tahun, yang merupakan seorang pelajar tahfiz yang dikatakan baik. Mak ayahnya orang kaya dan beriman. Dalam adik-beradiknya, dikatakan dialah yang paling baik. Suatu hari, dia didapati melakukan maksiat bersama seorang remaja lelaki di rumahnya. Apabila terbongkar, ibubapanya terpaksa kahwinkan dia dan serahkan dia kepada keluarga lelaki. Siapa kata orang yang hafal Quran itu tentu baik atau orang yang pakai purdah itu tentu baik. Sebab itulah baik itu mesti bertunjangkan iman. Budak itu nampak baik kerana mak ayahnya baik. Bukan hasil didikan. Dia ikut sahaja. Dalamnya bolong. Buktinya, bila ada peluang sahaja, dia rosak.

Pernah kami dari Jeddah pergi London. Masa naik kapal terbang, ramai perempuan yang pakai purdah hitam. Turun di London, semuanya hilang. Ternyata mereka salin pakaian dalam kapalterbang. Undang-undang yang paksa dia pakai purdah. Bukan dia hendak. Bukan dari didikan tetapi dia ikut kerana peraturan. Di Pakistan, kadang-kadang orang pakai skirt, lulusan universiti lebih baik dari yang pakai purdah. Yang pakai purdah itu, akidahnya pun tidak betul. Waktu kebangkitan Islam ini, ternyata orang sekular yang hendakkan Islam. Cuma tidak sentuh pakaian. Ertinya akidahnya sudah ada. Itu lebih baik dari orang yang pakai purdah. Pakai skirt itu salah tetapi yang pakai skirt itu sembahyang manakala yang pakai purdah tidak sembahyang. Mengapa dia pakai purdah? Kerana adat atau tradisi sahaja. Di antara 2 yang tidak baik ini, yang pakai skirt lebih baik. Setidak-tidaknya akidah sudah ada. Keyakinan sudah jelas.

Sebab itu dalam Islam, baik itu mesti dididik dengan iman. Orang kalau dia baik atas dasar akidah, campak dia di tempat yang rosak, dia ubah masyarakat. Kalau dia baik kerana enviroment, campak tempat yang rosak, dia jadi jahat. Kerana itu mubaligh-mubaligh Islam dahulu, seorang di tengah-tengah kekufuran, dia boleh mengubah dan mencorakkan masyarakat. Sebab dia baik atas dasar iman. Orang mengaji pondok sangat bahaya. Dia tidak ada peluang untuk buat jahat. Nampak baik tetapi kalau pergi ke bandar, dia penipu besar. Jangan lihat baik di luar sahaja. Di Indonesia, banyak pondok pesantren. Di situ dia berbunuh-bunuh. Mengapa? Kerana mereka hanya dapat ilmu tetapi tidak mendapat didikan. Mereka tidak buat jahat kerana keadaan tidak mengizinkan. Hati sudah jahat. Hatinya harimau cuma tidak boleh hendak menerkam kerana tidak ada peluang.

Sebagai kesimpulannya, remaja tidak akan cukup kuat menahan serangan godaan dunia bila mereka hanya baik secara kebetulan, bukan hasil didikan. Remaja yang baik bukan bertunjangkan iman, nampak baik sebab peluang untuk buat jahat tidak ada. Kalau kurang didikan, hanya ikut sahaja, pergi ke luar, dia cepat rosak. Dia mesti baik hasil didikan, hasil cinta dan takut Tuhan.


Musuh telah berjaya menawan hati anak kita

Faktor Ruhiyah dalam pendidikan yang tidak diperhatikan selama ini, telah melahirkan remaja-remaja yang lemah rohnya. Lemah hubungannya dengan Tuhan. Kalaupun ada yang secara lahir kelihatan baik, tapi belum tentu kebaikan itu atas dasar iman. Jiwanya lemah, cita-cita besar pun tak ada. Baginya yang penting adalah dapat kerja, dapat hidup selesa. Paling jauh lagi setakat hendak membalas jasa orang tua. Oleh itu, kerana faktor dalaman yang begitu rapuh, cita-cita besar pun tidak ada, maka mudahlah remaja ini dirosakkan oleh faktor luar yang memang telah dirancang dengan begitu rapi, berani, untuk menghancurkan masa depan dunia khususnya masa depan umat Islam di dunia. Mudahlah mereka kemudian dirosakkan oleh pengaruh-pengaruh yang ada. Dimulai dari rokok, kemudian arak, bila dah mabuk apapun boleh berlaku, zina, dadah, pembunuhan dan lain lain lagi. Pihak-pihak musuh Islam semakin yakin bahawa kebangkitan Islam akan terjadi semula. Oleh itu mereka sekuat tenaga ingin membendung perkembangan ini. Musuh membuat penyerangan dari segala penjuru, melalui serangan yang berbentuk lahiriah maupun yang berbentuk rohaniah, untuk mengubah akal, fikiran & hati mereka.

....akan bersambung...

Tidak ada komentar:

Posting Komentar